CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Monday, July 28, 2008

Jika anda alami renjatan emosi, jumpa Datuk Seri Najib

Kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Parcel A yang menempatkan pejabat-pejabat Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri di JPM, Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Bahagian Keselamatan Negara, antara lain, di Bangunan Perdana Putra.Datuk Seri Mohamad Najib bin Abdul Razak, TPM yang berpejabat di Aras 4, Blok Barat, Bangunan Perdana Putra, Kompleks Jabatan Perdana Menteri. Bukan mudah nak jumpa tanpa urusan rasmi dan temujanji terlebih dahulu.
Adalah lebih sukar untuk menemui beliau di kediaman rasminya yang di kawal ketat. Seseorang itu tidak boleh sesuka hati pergi ke kediaman rasmi TPM untuk menemui beliau.
Menteri Kabinet juga tidak dengan senang sahaja boleh menemui TPM tanpa terlebih dahulu membuat temujanji.
Setelah Najib dilantik TPM, saya pernah hanya sekali ke pejabatnya di Aras 4, Blok Barat, Bangunan Perdana Putra pada tahun 2004 untuk menyerah teks ucapan sempena salah satu majlis Rumah Terbuka Malaysia yang dihadiri oleh beliau selaku wakil Perdana Menteri. Pada waktu itu saya bertugas di Pejabat Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang berpejabat di Kuala Lumpur. Semasa berkhidmat di JPM sebelum itu, saya berpejabat di Aras 3, Blok Barat, Bangunan Perdana Putra (satu aras di bawah pejabat TPM) dan tahu mengenai kawalan keselamatan yang ada di JPM.
Oleh itu, saya hairan bagaimana seorang anak muda yang kononnya "traumatized" atau mengalami satu kejutan yang amat teruk dan renjatan emosi akibat kononnya di liwat oleh mantan TPM boleh dengan senangnya menemui Najib di kediaman rasminya yang dikawal ketat iu.
Adakah ini bermakna bahawa sesiapa sahaja rakyat Malaysia yang mengalami masalah yang sama boleh dengan mudahnya pergi sama ada ke JPM atau ke kediaman rasmi TPM untuk mengadu dan meminta bantuan seperti yang dilakukan oleh pemuda berkenaan?
Sudah tentu tidak boleh! Tetapi itulah alasan yang diberikan sendiri oleh Najib kepada pihak media yang ingin tahu kenapa pemuda berkenaan menemuinya. Sekiranya apa yang diucapkan oleh Najib itu benar dan betul, maka rakyat Malaysia yang mengalami renjatan emosi atau "traumatized" atas apa alasan sekalipun, pergilah mengadu kepada Najib sama ada di pejabatnya atau di kediaman rasminya di Putrajaya.
Saya tidak ingin menyentuh mengenai tuduhan liwat kerana ia sedang di siasat oleh polis. Saya melihat alasan Najib tentang kenapa pemuda berkenaan menemui beliau agak meragukan kerana saya tahu bukan senang untuk memasuki sama ada Kompleks JPM (Perdana Putra) ataupun kediaman rasmi TPM.
Saya pernah bertugas di Bangunan Perdana Putra dari tahun 2000 hingga 2004 dan tahu bahawa bukan mudah untuk orang ramai memasuki kompleks itu tanpa kebenaran atau mempunyai urusan rasmi yang ditetapkan lebih awal. Seseorang yang ingin memasuki kawasan Bangunan Perdana Putra perlu mendapat pas keselamatan dari Bilik Pengawal yang dilengkapi pintu pengesan logam dan kamera tv litar tertutup. Pihak keselamatan tidak akan mengeluarkan pas keselamatan sebelum mendapat pengesahan daripada pejabat yang hendak dikunjungi. Selepas mendapat pengesahan barulah pas keselamatan diberikan. Ini bermakna bahawa seseorang itu perlu membuat temujanji atau dijemput atas urusan rasmi dan tidak boleh sesuka hati meminta pas keselamatan untuk masuk. Kawalan keselamatan adalah ketat.
Kawalan yang ketat juga dilaksanakan di kediaman Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Sesiapapun tidak boleh masuk tanpa kebenaran atau temujanji terlebih dahulu.
Oleh itu, bagaimana seorang pemuda yang "traumatized" begitu mudah memasuki kediaman TPM untuk mengadu dia diliwat. Kenapa perlu mengadu kepada TPM sedangkan TPM berkata dia tidak mengenali pemuda itu?
Sekiranya begitu mudah untuk menemui TPM di kediaman rasminya, maka eloklah bagi rakyat Malaysia yang mempunyai masalah supaya berduyun-duyun ke kediaman rasmi TPM untuk mengadu dan meminta pertolongan.
Pendek kata: Jika anda alami renjatan emosi akibat daripada melalui sesuatu pengalaman yang amat perit, menakutkan, mengejutkan dan amat memeranjatkan, jangan bimbang, pergi ke Putrajaya dan temuilah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib bin Abdul Razak.
Itulah mesej yang disampaikan sendiri oleh Najib melalui media elektronik dan media cetak. Bagi pihak rakyat Malaysia yang teraniaya dan yang "traumatized" saya panjangkan ucapan terima kasih kepada YAB Datuk Seri Mohamad Najib bin Abdul Razak atas kepedulian anda.

0 comments: