Menteri Penerangan Ahmad Shabery Cheek yang mempertaruhkan jawatannya apabila berdebat dengan penasihat Pakatan Rakyat Anwar Ibrahim mengenai isu kenaikan harga minyak yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) malam ini (15 Julai), jelas telah gagal mempertahankan institusi yang diwakilinya iaitu kerajaan.
Ahmad Shabery bukan sahaja gagal tetapi cukup mengecewakan dalam perdebatan yang dipancar secara langsung ke seluruh negara oleh dua buah stesen tv, TV9 dan Bernama TV.
Ahmad Shabery gagal menyentuh, menjawab dan memperincikan topik yang ditetapkan tetapi lebih cenderong menyindir dan menghentam peribadi Anwar termasuk mengungkit-ungkit perkara yang sudah hampir 35 tahun berlalu.
Nampaknya, Ahmad Shabery menggunakan peluang debat untuk tujuan politik murahan dan sikapnya itu tidak memberi faedah atau kelebihan kepada kerajaan yang diwakilinya selaku menteri penerangan. Tepukan dan sorakan yang diberi oleh para penyokongnya bukan bermakna ianya betul. Biasalah, itu kerja penyokong dan sekiranya pegawai dan kakitangan di Angkasapuri memujinya, itupun sesuatu yang biasa. Di depan menteri cakap lain, di belakang lain bicara.
Ahmad Shabery jauh menyimpang daripada tajuk atau persoalan pokok yang diperbahaskan dan ini adalah satu kesilapan. Yang jelas, dia bukan seorang pemidato apatah lagi pendebat atau pembahas yang baik. Nampaknya dia gagal menimba ilmu dan mempelajari sesuatu daripada mantan bosnya, Tengku Razaleigh Hamzah semasa cergas dalam Semangat 46.
Syabas dan tahniah kepada Anwar Ibrahim yang walaupun sedang menghadapi ancaman untuk ditangkap oleh pihak berkuasa, masih mampu tenang dan tersenyum menerima serangan peribadi dan tidak pula menyerang balas. Anwar tidak banyak lari daripada topik dan hujah-hujahnya mudah difahami oleh majoriti rakyat yang menonton siaran langsung itu.
Oh ya, Ahmad Shabery juga kurang bijak dalam memilih "wakil" untuk mengemukakan soalan. Dr Nordin Kadri, mantan Ketua Pengarah Biro Tata Negara dan kini Naib-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) bukan orang yang sepatutnya dilantik.
Perdebatan ini tidak sama dengan kem-kem motivasi dan sesi untuk mempengaruhi orang supaya mengubah pendirian atau menghapuskan kepercayaan lama yang saya percaya salah satu bidang kepakaran beliau, tetapi satu perdebatan yang membabitkan dua orang tokoh politik yang memperkatakan satu isu yang penting dan genting.
Cara Dr Nordin mengajukan soalan selepas membuat sedikit syarahan adalah tidak kena pada tempat dan majlis. Ini bukan satu program Biro Tata Negara. Mungkin dia terbawa-bawa dengan cara kerjanya semasa di BTN.
Monday, July 28, 2008
Shabery Cheek gagal dan mengecewakan dalam debat
Posted by usyarif_hardyboyz at 11:56 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)








0 comments:
Post a Comment